Menelusuri sejarah 60+ tahun kegemilangan dari penubuhan gotong-royong tahun 1965 di atas tanah wakaf Allahyarham Orang Tua Abdullah Bin Banawa sehingga era digital hari ini.
Pada tahun 1965, penduduk Kampung Kelatuan telah membina sebuah sekolah secara bergotong-royong di atas sebidang tanah berkeluasan kira-kira setengah hektar yang disumbangkan oleh Allahyarham Orang Tua Abdullah Bin Banawa. Pada asalnya sekolah ini hanya mempunyai sebuah bangunan berbumbungkan zink dan rumbia, berdindingkan papan serta sebahagian pelepah rumbia dan berlantaikan tanah liat. Kerusi dan meja diusahakan sendiri oleh ibu bapa di atas keprihatinan tinggi terhadap masa hadapan anak-anak.
Setelah usia sekolah menjangkau 10 tahun, Jabatan Pendidikan Sabah telah mengambil alih sepenuhnya pentadbiran sekolah. Sebuah bangunan baharu yang menampung dua buah bilik darjah, dua bilik stor dan sebuah rumah guru telah dibina dengan peruntukan bernilai sekitar RM50,000.
Bangunan baharu tersebut telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Dzulkifli Bin Datuk Haji Abdul Hamid, Menteri Kewangan Negeri Sabah pada ketika itu. Dengan perasmian bersejarah itu, sekolah ini telah dinamakan secara rasmi sebagai "SEKOLAH KEBANGSAAN KELATUAN, PAPAR" dan diwartakan sebagai Hak Milik Kerajaan sepenuhnya.
Kawasan sekolah diperluas menjadi 2 hektar. Bagi menampung pertambahan bilangan murid seramai 178 orang, Jabatan Pendidikan Sabah membina dua unit bangunan tambahan, dua buah rumah guru dan sebuah padang bola sepak melalui Projek Bank Dunia bernilai RM250,000. Bangunan lama yang usang dirobohkan bagi menjamin keselamatan warga sekolah.
Hari ini, SK Kelatuan memiliki empat buah blok bangunan yang selesa dan kondusif merangkumi Bilik Pusat Sumber, Bilik Pemulihan, Kelas Prasekolah Ceria, Dewan Serbaguna, Makmal Komputer, serta kemudahan bilik darjah interaktif bagi memastikan kemenjadian murid sentiasa berada pada tahap kualiti tertinggi berpandukan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia.